20 Aug 2011

MENCARI LAILATUL QADAR

LAILATUL QADAR merupakan satu malam yang mempunyai kelebihan lebih seribu bulan yang lain. Ia dibuktikan seperti firman Allah di dalam al-Quran dalam surah al-Qadr. Kita disuruh untuk menghidupkan malam lailatul qadar dan tidak membiarkannya berlalu begitu sahaja. Rasulullah saw telah bersabda dalam hadis daripada Abu Hurairah bermaksud: "Sesiapa yang menghidupkan malam lailatul qadar penuh keimanan dan keikhlasan akan diampun baginya dosa yang telah lalu".

Allah menyembunyikan malam lailatul qadar dari pengetahuan kita sebagaimana Dia menyembunyikan segala sesuatu yang lain. Dia menyembunyikan keredaanNya pada setiap ketaatan sehingga timbul dalam diri kita keinginan untuk melakukan semua ketaatan atau ibadat itu. Begitu juga Dia menyembunyikan kemurkaanNya pada setiap perkara maksiat agar kita berhati-hati dan menjauhi segala maksiat dan tidak memilih antara dosa besar dan kecil. Dia menyembunyikan wali-wali agar manusia tidak terlalu bergantung kepada mereka dalam berdoa sebaliknya berusaha sendiri dengan penuh keikhlasan kerana Allah menerima segala doa orang yang bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa. Dia menyembunyikan masa mustajab doa pada hari Jumaat supaya kita berusaha sepanjang harinya. Begitu juga Allah menyembunyikan penerimaan taubat dan amalan yang telah dilakukan supaya kita sentiasa bersegera dalam bertaubat.

Demikianlah juga dengan penyembunyian malam lailatul qadar agar kita membesarkan dan menghidupkan keseluruhan malam Ramadhan dalam mendekatkan diri kepadaNya bukan hanya sekadar menunggu malam lailatul qadar sahaja. Tetapi inilah penyakit besar yang menimpa umat Islam yang menyebabkan malam-malam Ramadhan lesu kerana mereka hanya menanti malam yang dianggap malam lailatul qadar sahaja untuk beribadat. Disebabkan mengejar kelebihan lailatul qadar yang tidak kita ketahui masanya yang tertentu, kita terlepas dengan kelebihan Ramadhan yang hanya datang setahun sekali.

Daripada Hazrat Aishah r.anha beliau berkata bahawa Rasulullah saw bersabda, "Carilah Lailatul Qadar pada bilangan hari yang ganjil dari sepuluh malam terakhir Ramadhan".
Pada pendapat kebanyakan ulama, sepuluh hari terakhir Ramadhan bermula malam ke-21 dan ini adalah umum samada bulan itu mengandungi 29 hari ataupun 30 hari. Dari perkiraan ini berdasarkan hadis di atas, pencarian lailatul qadar hendaklah dilakukan pada malam ke 21, 23, 25, 27 dan 29. Sekiranya bulan itu mengandungi 29 hari pun maka malam-malam inilah yang masih dikatakan 10 hari terakhir.

Antara tanda-tanda dalam mengetahui malam lailatul qadar adalah berdasarkan beberapa hadis antaranya, Abi Ibnu Ka'ab telah meriwayatkan bahawa Rasulullah saw telah bersabda mengenai lailatul qadar yang ertinya "Sesungguhnya matahari yang keluar pada hari itu tidak begitu bercahaya (suram). Diriwayatkan dari Rasulullah saw bahawa baginda telah bersabda : "Sesungguhnya tanda-tanda lailatul qadar, bahawa malamnya bersih suci seolah-olah padanya bulan yang bersinar, tenang sunyi, tidak sejuk padanya dan tidak panas, tiada ruang bagi bintang untuk timbul sehingga subuh, dan sesungguhnya tanda-tanda matahari pada paginya terbit sama tiada baginya cahaya seperti bulan malam purnama tidak membenarkan syaitan keluar bersamanya pada hari itu".

Ketahuilah apabila tiba lailatul qadar Allah swt akan memerintahkan Jibrail a.s supaya turun bersama satu kumpulan besar malaikat. Bersama mereka terdapat bendera hijau. Beliau akan memacakkan bendera itu di atas Ka'abah. Jibrail a.s mempunyai seratus sayap. Dua daripada sayap itu tidak pernah dibuka kecuali pada malam itu sahaja. Lalu beliau membuka kedua-dua sayapnya sehingga menutupi timur dan barat. Kemudian pada malam tersebut Jibrail a.s akan mendorong malaikat lain supaya mereka pergi memberi salam kepada setiap orang yang ang sedang berdiri atau duduk, bersolah atau berzikir. Maka para malaikat itu akan berjabat tangan dengan mereka dan akan mengaminkan doa-doa mereka sehingga terbit fajar. Apabila terbit fajar Jibrail a.s akan menyeru segala malaikat, "Sekarang pulanglah!." Para malaikat itu pun akan bertanya, "Wahai Jibrail apakah keperluan orang beriman di kalangan umat Muhammad saw?" Beliau akan menjawab, "Allah swt telah memerhatikan mereka pada malam ini lalu telah mengampunkan mereka semua kecuali empat jenis manusia". Maka para malaikat pun bertanya, "Siapakah mereka ya Rasulullah?" Baginda saw bersabda, "Lelaki yang berterusan minum arak, seseorang yang menderhakai kedua-dua ibu bapanya, seseorang yang memutuskan silaturrahim dan musyahin". Mereka bertanya, "Ya Rasulullah, siapakah musyahin itu?" Baginda saw menjawab, "Dia ialah musorim (orang yang berhasad dengki dan memutuskan hubungan".



No comments:

Post a Comment